Kami disini

Saturday, September 24, 2011

Bayi Lemas Dalam Selimut - 25 Sept 2011

PUTRAJAYA: Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan maut dipercayai lemas selepas tergumpal di dalam selimut ketika di bawah jagaan pengasuhnya di Presint 8, di sini, kelmarin.
Nur Harisya Miasarah Haizam meninggal dunia pada jam 9.30 malam, selepas lebih 11 jam bertarung nyawa ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya.

Difahamkan, mangsa dibawa pengasuhnya ke Unit Kecemasan hospital terbabit pada jam 10.30 pagi selepas ditemui dalam keadaan tidak bermaya serta kelihatan lesu, biru dan tidak bergerak sejurus ditemui bergumpal dengan toto.
Menurut ibu mangsa, Hayati Idris, 28, dia menghantar anak ketiganya pada jam 6.30 pagi, bersama seorang lagi anak lelakinya berusia empat tahun.

Bagaimanapun, katanya, dia menerima panggilan daripada pengasuhnya pada 10.30 pagi yang memaklumkan Mia (panggilan manja) lemas dalam selimut dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Pengasuh memaklumkan ketika kejadian, anak saya berada di ruang tamu bersama abangnya dan beberapa kanak-kanak lain, sementara dia membawa seorang anaknya ke tandas.
“Sebaik keluar ke ruang tamu, dia lihat Mia di bawah selimut nipis dalam keadaan tidak bermaya, lesu, sedikit biru dan tidak bernafas.

“Dia kemudian membawa Mia ke unit kecemasan hospital untuk rawatan lanjut, memandangkan dia tidak tahu melakukan bantuan nafas mulut ke mulut atau Cardiopulmonary Resuscitation (CPR),” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, di sini, semalam.
Hayati berkata, sepanjang menerima rawatan di ICU, anak sulung perempuannya kelihatan kritikal dan tidak memberikan tindakan positif kecuali menggerakkan jari tangan beberapa kali.

“Selepas itu, Mia langsung tidak menunjukkan reaksi positif hingga saat akhir dia meninggalkan kami pada jam 9.30 malam.

“Saya dan suami Haizam Sharif, 32, reda dengan pemergian Mia, mungkin sudah ajalnya. Kita tidak boleh menghalang takdir, sebaliknya terima pemergiannya dengan reda,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia enam tahun.

Katanya, jenazah kemudian dibawa pulang ke kampungnya di Kampung Pasir Gajah, Kampung Gajah, Perak, dan selamat dikebumikan pada jam 11 pagi semalam.

Berikutan kejadian itu, Hayati membuat laporan di Balai Polis Daerah (IPD) Putrajaya, namun tidak bercadang mengambil tindakan terhadap pengasuh berkenaan.

Katanya, pada usia sembilan bulan Mia sudah pandai merangkak dan cuba berdiri sendiri.

No comments:

iklan Nuffnang